
KUCHING: Program Shell LiveWire Sarawak terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan usahawan tempatan apabila lima peserta terbaik yang dipilih tahun ini akan mewakili Sarawak ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, program tersebut telah dilaksanakan secara berterusan sejak 2017 ketika ia bermula di bawah inisiatif TEGAS Innovation Hub.
"Alhamdulillah, setiap tahun kita mengadakan program ini. Lima peserta terbaik yang dipilih hari ini akan bersaing di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Shell LiveWire Sarawak di Sarawak Digital Village, Kota Samarahan petang tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, lebih 100 permohonan diterima untuk menyertai program ini sebelum melalui proses saringan oleh pihak Shell sehingga senarai akhir 10 peserta dipilih, seterusnya menyaksikan lima terbaik diumumkan pada pertandingan akhir.
Len Talif berkata, kerjasama erat antara TEGAS dan Shell dalam menganjurkan program itu telah memberi sokongan besar kepada pembangunan keusahawanan di Sarawak.
Katanya, pelbagai produk inovatif dipamerkan pada Shell LiveWire kali ini, termasuk produk berasaskan kitar semula, coklat yang dihasilkan menggunakan bahan tempatan Sarawak serta minyak wangi berasaskan minyak kelapa.
"Program ini merupakan satu platform untuk kita mengetengahkan produk-produk usahawan Sarawak, ia memberi peluang kepada mereka mempamerkan hasil inovasi masing-masing kepada khalayak yang lebih luas," katanya.

Tegasnya, penyertaan dalam program tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk membina rangkaian perniagaan, bertukar pandangan sesama usahawan serta meningkatkan keyakinan dalam memasarkan produk mereka.
"Sepanjang program ini berlangsung, peserta berpeluang memperluaskan jaringan hubungan dan pada masa sama meningkatkan tahap keyakinan mereka dalam memperkenalkan serta memasarkan produk masing-masing," katanya.
Len Talif berkata, peserta yang berjaya di peringkat kebangsaan berpeluang menyertai program Shell LiveWire di peringkat antarabangsa seperti pernah dicapai beberapa alumni Sarawak sebelum ini.
"Kita mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran global. Pasaran kita bukan hanya di Sarawak.
"Dengan adanya capaian internet, platform digital serta sokongan terhadap ekonomi hijau, masa depan produk tempatan amat cerah untuk dipasarkan ke seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata, penekanan Kerajaan Sarawak terhadap pendigitalan dan pembangunan ekonomi hijau meletakkan usahawan tempatan pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang pasaran antarabangsa.
Terdahulu, lima pemenang yang akan memikul cabaran Sarawak ke pertandingan sama peringkat kebangsaan di ibu negara ialah Stinablis Sdn Bhd, Roti Lazeez Enterprise, Senju Co, Landik dan Syarikat Gandaan Restu (Deservebarn).
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 daripada Shell dan tambahan RM5,000 sumbangan TEGAS menjadikan keseluruhan RM15,000.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang dan Pengarah Korporat SHELL Cindy Lopez.