KUCHING: Kakitangan yang berkhidmat bagi agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) perlu menghayati visi dan misi kementerian yang diterjemahkan secara konsisten dalam cara bekerja, berfikir serta membuat keputusan.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi menegaskan bahawa aspirasi kementerian adalah untuk menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan berkesan, bukan sekadar berfungsi mengikut rutin biasa.
Beliau menjelaskan, elemen kecemerlangan merupakan nilai teras yang dikongsi oleh semua agensi di bawah MUDeNR termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah (LCDA), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta agensi berkaitan lain, walaupun dinyatakan melalui visi yang berbeza.
“Maksudnya, kecemerlangan bermakna kita tidak boleh menerima sikap sederhana atau mediocrity. Dalam pemikiran, tingkah laku mahupun hasil kerja, kita menuntut tahap kecemerlangan.
“Untuk cemerlang bermaksud usaha kita mampu mencipta nilai sebenar dan impak yang nyata. Apabila misi menjadi panduan dan asas kepada tindakan, kita bukan lagi sekadar bertindak balas terhadap peristiwa, sebaliknya mula membentuk hala tuju negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Bersama Setiausaha Tetap MUDeNR di sini, hari ini.
Menyentuh aspek kepimpinan, Abdullah turut menekankan kepentingan kepercayaan, konsistensi, keadilan dan integriti, sambil menjelaskan bahawa integriti hanya dapat dibuktikan apabila kata-kata selari dengan tindakan, khususnya ketika berdepan tekanan.
“Apabila mereka mempercayai kita, mereka akan memberi komitmen sepenuhnya, bekerjasama secara terbuka dan seterusnya melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan,” tambahnya.
Beliau turut menyeru semua warga kerja MUDeNR agar memberi tumpuan kepada keutamaan sebenar, bukan sekadar sibuk dengan tugasan rutin yang kurang memberi nilai tambah, di samping sentiasa memahami peranan dan tujuan perkhidmatan awam berlandaskan kerangka perundangan, tadbir urus dan akauntabiliti.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengarah JTS Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengurus Besar LCDA Datu Zaidi Mahdi, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Datu Jack Liam serta Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran.