Lindungi hutan aset kelestarian alam – Len Talif

Posted on 19 Feb 2025
Source of News: TVS Sarawak

KUCHING, 19 Feb: Hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim, menjadikannya aset yang perlu dijaga seiring dengan pembangunan negeri, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.

Menurut beliau, setiap kali bercakap mengenai perubahan iklim, litupan hutan sering dikaitkan kerana keupayaannya mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar.

Tambahnya, meskipun Sarawak hanya sebuah negeri kecil di peta dunia, tanggungjawab untuk memastikan kelestarian alam tetap menjadi keutamaan.

“Kita perlu lebih peka dalam setiap aktiviti yang dijalankan supaya tidak menjejaskan alam sekitar.

“Sebab itu, Sarawak mengambil langkah ke hadapan dengan pelbagai inisiatif seperti ekonomi hijau, tenaga hijau dan hidrogen, seperti yang ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menganjurkan majlis apresiasi bersama media di Star On Stage pada malam Rabu.

Beliau turut mengulas mengenai kejadian hujan luar biasa yang melanda beberapa kawasan di Sarawak baru-baru ini, mengaitkan jumlah hujan dalam tempoh 24 jam mencecah 900 milimeter iaitu hampir satu perlima daripada jumlah purata tahunan di Bintulu.

Keadaan ini, katanya, berada di luar kawalan kerana jumlah hujan yang turun begitu tinggi dalam masa singkat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pengurusan hutan yang lebih lestari, termasuk mengurangkan aktiviti pembalakan dan meningkatkan usaha penanaman semula pokok.

“Sejak tujuh tahun lalu, kita sudah mengurangkan penebangan kayu dan pada masa yang sama mempergiatkan usaha menanam semula pokok.

“Ini adalah komitmen berterusan Sarawak untuk memastikan hutan diurus dengan lebih baik,” jelasnya.

Selain itu, Len Talif turut menyatakan bahawa Sarawak kini memberi tumpuan kepada perdagangan karbon dan pengimbangan karbon sebagai langkah memanfaatkan sumber alam tanpa menjejaskannya.

“Kita tidak akan menebang pokok sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kita mahu menjadikan perdagangan karbon sebagai satu opsyen untuk memastikan aset hutan dapat dimanfaatkan secara mampan,” katanya lagi.

Beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar agar Sarawak terus maju tanpa mengorbankan khazanah semula jadi wilayah ini. – TVS



Copyright © 2024 Ministry of Natural Resources and Urban Development
Last Updated On 29 Mar 2025

Operating Hours:-

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
image Polls
image Announcement