MIRI, 25 Feb: Sarawak terus mengorak langkah dalam inisiatif karbon hutan melalui pelaksanaan Seminar Status Permit Kajian Karbon Hutan dan Lesen Karbon Hutan yang bertujuan menilai kemajuan projek karbon serta memperkukuh kerjasama antara pemegang lesen dan agensi berkaitan.
Menurut Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Pengurusan Hutan), Semilan Ripot, seminar ini menjadi platform penting untuk berkongsi perkembangan terkini selain amalan terbaik serta strategi dalam pengurusan karbon hutan.
“Dengan meningkatkan kerjasama dan ketelusan dalam tadbir urus karbon hutan, kita bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam tindakan iklim global tetapi juga membuka peluang ekonomi yang mampan untuk rakyat,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Seminar Status Permit Kajian Karbon Hutan dan Lesen Karbon Hutan oleh Pemegang Permit dan Lesen di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, hutan Sarawak bukan sahaja aset negeri tetapi juga memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim dunia.
“Melalui usaha bersama, kita mampu menjadikan inisiatif kelestarian ini sebagai penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada ekosistem, komuniti dan ekonomi,” katanya.
Pada November 2024, Sarawak mencapai pencapaian penting dengan pengeluaran satu Lesen Karbon Hutan dan tujuh Permit Kajian Karbon (CSP) meliputi 183,625 hektar tanah.
Jelas Semilan, inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan tetapi juga membuka peluang baharu dalam penjanaan kredit karbon sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti tempatan.
“Inisiatif ini disokong oleh kerangka perundangan yang kukuh menerusi Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 yang memastikan ketelusan dan akauntabiliti serta pematuhan kepada standard pasaran karbon antarabangsa,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemegang Lesen Karbon Hutan dan CSP atas sumbangan mereka.
Antaranya, SaraCarbon Sdn Bhd, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKKIR), Shin Yang Sdn Bhd, South East Carbon Sdn Bhd, Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB), TSG Group Sdn Bhd.- TVS