Sarawak berminat bangun taman tenaga seperti di Oygarden, Vestland di Norway

Posted on 26 Feb 2025
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Sarawak berminat untuk meneroka dan mengkaji peluang membangunkan taman tenaga di negeri ini seperti yang dibangunkan Oygarden, Vestland di Norway.

Minat mendalam terhadap pembangunan taman tenaga itu dinyatakan susulan lawatan delegasi Sarawak diketuai Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke taman itu pada Jumaat.

Taman Tenaga di Oygarden berfungsi sebagai model untuk menyepadukan keseluruhan rantaian nilai tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), menyediakan kemudahan penerimaan dan penyimpanan karbon dioksida yang membolehkan pengeluaran tenaga berasaskan hidrogen berskala besar daripada gas asli dengan CCS.

Semasa lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Coast Center Base (CCB) Ronny Haufe memberi taklimat tentang konsep simbiosis perindustrian di taman tenaga yang memupuk ekosistem pengeluaran mampan yang unik.

CCB ialah penyedia perkhidmatan terkemuka yang berpangkalan di Agotnes, berhampiran Bergen, Norway yang mengkhusus dalam logistik, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan untuk industri minyak, gas dan maritim.

Ia juga merupakan pemain utama dalam tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen dan CCS melalui Taman Tenaga CCB di Oygarden.

"Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia kaya dengan sumber asli dan berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui pembangunan tenaga mampan.

"Dengan projek kuasa hidro utama seperti empangan Murum dan Bakun, negeri ini sedang giat beralih ke arah model ekonomi yang pelbagai dan mampan.

"Ini termasuk memanfaatkan kuasa hidro, pengeluaran hidrogen dan meneroka teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) untuk mengurangkan pelepasan dan menyokong masa hadapan karbon rendah," menurut kenyataan susulan lawatan itu.

Delegasi itu turut melawat kemudahan Northen Lights, mendapatkan cerapan berharga tentang prosesn penyimpanan karbon dioksida.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Datuk Jefferson Jamit Unyat, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi serta yang lain.

Awang Tengah bersama delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Bergen di Norway, Marit Warncke pada hari sama.

Kunjungan tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar pandangan mengenai pembangunan bandar lestari dan tenaga boleh diperbaharui serta meneroka peluang pelaburan di Sarawak.

Turut dibincangkan pada kunjungan itu, kekuatan ekonomi yang dikongsi antara Norway dan Sarawak dalam industri utama seperti minyak dan gas, perhutanan, pertanian, perikanan dan tenaga.



Copyright © 2024 Ministry of Natural Resources and Urban Development
Last Updated On 31 Mar 2025

Operating Hours:-

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
image Calendar
image Polls
image Announcement