KUCHING: Sarawak telah mengeluarkan satu lesen karbon dan tujuh permit kajian karbon hutan dengan keluasan 183,625 hektar setakat November 2024.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak akan meneruskan pendekatan baharu dalam pengurusan hutan melalui aktiviti karbon hutan yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara kawasan hutan yang telah dibalak serta hutan terosot (degraded forest).
“Aktiviti karbon hutan ini akan menghasilkan kredit karbon yang boleh didagangkan, sekali gus menyumbang kepada sumber pendapatan baharu bagi Sarawak.
“Setakat November 2024, satu lesen karbon dan tujuh permit kajian karbon hutan telah dikeluarkan dengan keluasan 183,625 hektar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan DUN, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, malahan memantapkan pengurusan karbon hutan di Sarawak, satu memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Hutan Sarawak dan National University Corporation Kyushu University, Japan.
Katanya ia bagi 'Kolaborasi dan Kerjasama Membangunkan Pendidikan Akademik dan Saintifik Mengenai Penilaian Fungsi Ekosistem Hutan termasuk untuk Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak' yang ditandatangani pada 23 Julai 2024.
Beliau menegaskan inisiatif karbon hutan merupakan langkah baharu yang akan memberi impak positif dalam jangka pendek dan jangka panjang kepada komuniti setempat dari segi peluang pekerjaan dan perdagangan karbon melalui dua fasa pelaksanaannya.
“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja kajian karbon hutan seperti penglibatan dalam penyelidikan untuk menilai biojisim dalam stok karbon, pengumpulan data lapangan, pengukuran pokok serta pengambilan sampel tanah.
“Fasa kedua pelaksanaan lesen karbon hutan akan membuka peluang pekerjaan dalam penyediaan tapak semaian, penanaman pokok, pengawalseliaan, penandaan sempadan, pengumpulan data, perhutanan tani (agroforestry) dan pembangunan infrastruktur ekopelancongan,” katanya.
Tambah Awang Tengah, aktiviti berkenaan menyokong pemeliharaan hutan secara berkekalan dan memberi manfaat untuk pembangunan ekonomi negeri dan juga penduduk setempat dari segi peluang pekerjaan di kalangan komuniti di sekitar kawasan lesen.
Beliau berkata, manfaat inisiatif karbon juga bersifat 'intangible' seperti ekosistem dan alam sekitar sihat yang tidak boleh diukur hanya dengan wang.
Sementara itu, mengenai penguatkuasaan hutan di Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan Hidupan Liar, Awang Tengah berkata sejumlah 50 kes kesalahan hutan direkodkan Jabatan Hutan Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024.
Dalam tempoh yang sama katanya, 11 kes didaftar untuk pendakwaan di mahkamah, iaitu dua kes telah selesai diputuskan oleh mahkamah manakala sembilan kes masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan.
“Sebanyak RM654,018.00 kompaun dan RM2.8 juta hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan telah dikutip dalam tempoh tersebut.
“Aktiviti penguatkuasaan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk melindungi TPA dan hidupan liar adalah penting demi kelestarian alam semula jadi.
“Dari Mei hingga Oktober 2024, SFC telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan kesalahan TPA dan jenayah hidupan liar,” katanya.
Beliau berkata empat kes dibawa ke mahkamah, lapan kes dikenakan kompaun dan 15 kes masih dalam siasatan.
“Selain itu, 10 kertas siasatan dari tahun sebelumnya juga telah didakwa, menjadikan jumlah kes didakwa di mahkamah sebanyak 14, iaitu 10 kes melibatkan denda, tiga pesalah dipenjara dan satu diberi bon berkelakuan baik,” tegasnya.