SARIKEI: Pelaksanaan program Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) adalah merupakan komitmen dan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.
Timbalan Menteri, Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Haji Len Talif Salleh berkata, program SPS dan SPK ini telah dilancarkan sejak Rancangan Malaysia Ke-4 (RMK4).
"Di SPS dan SPK kerajaan telah menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air dan kemudahan elektrik.
"Sejak 2018, pembangunan infrastruktur spesifikasi baharu yang dilaksanakan melibatkan jalan raya yang berturap, parit konkrit, lot-lot yang di tembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik di SPS dan SPK melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.
"Dalam masa yang sama juga, kerajaan Sarawak telah menetapkan bayaran premium tanah bagi setiap lot ditetapkan tidak melebihi RM2,500 dan pembayarannya boleh dibuat secara ansuran tahunan sehingga 10 tahun," kata Len.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Skim Pembesaran Kampung Bukit Kinyau, Sarikei, di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei baru-baru ini.