KUCHING: Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke Penrose Plantation Forest di Canberra, Australia semalam bagi memupuk kerjasama antarabangsa dalam pengurusan hutan lestari dan pemuliharaan alam sekitar melalui pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.
Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan pejabatnya, Penrose Plantation Forest terletak di Tablelands Selatan, New South Wales, terkenal sebagai ladang pokok pain yang luas serta diurus dengan baik.
Meliputi kawasan lebih 1,000 hektar, Penrose Plantation Forest ialah tapak penting untuk penyelidikan, rekreasi dan pengeluaran kayu yang mampan.
Diurus oleh Forestry Corporation of New South Wales, ia merupakan model amalan perhutanan moden, menyeimbangkan pemeliharaan ekologi dengan operasi hutan komersial.
Awang Tengah dan delegasi terlibat dalam lawatan komprehensif hutan, diketuai pegawai New South Wales Forestry Corporation, yang mengetengahkan pendekatan inovatif perladangan Penrose terhadap pengurusan hutan lestari termasuk penglibatan dan rekreasi masyarakat.
Kenyataan akhbar itu juga berkata Penrose Plantation Forest tidak hanya tapak bagi pengeluaran kayu tetapi juga kawasan rekreasi yang bernilai untuk masyarakat setempat.
Delegasi Sarawak meneroka kemudahan rekreasi hutan termasuk denai berjalan kaki, kawasan berkelah dan program pendidikan yang direka untuk memupuk penglibatan masyarakat dalam pemuliharaan perhutanan.
“Ini penting kepada dasar di Sarawak terutamanya, berikutan pengenalan Hutan Lipur melalui pindaan kepada Ordinan Hutan pada 2022.
"Yang Berhormat Timbalan Premier (Awang Tengah) menegaskan Sarawak komited memastikan bekalan bahan mentah yang mampan untuk industri berasaskan kayu di samping meneruskan inisiatif dalam pemeliharaan hutan semula jadi," tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut Penrose Plantation Forest menerajui pengeluaran kayu mampan, menggunakan teknik silvikultur termaju untuk memastikan kesihatan dan produktiviti hutan.
"Delegasi turut berpeluang memerhatikan kitaran hayat pengeluaran kayu, daripada penanaman hingga penuaian dan mempelajari tentang amalan mampan yang meminimumkan kesan alam sekitar," katanya kenyataan itu lagi.
Satu lagi pendekatan pengurusan hutan lestari yang inovatif oleh Penrose Plantation ialah dalam pemuliharaan biodiversiti.
Lawatan itu termasuk sesi taklimat mengenai usaha pemuliharaan biodiversiti hutan, mempamerkan bagaimana perhutanan lestari boleh wujud bersama dengan pemeliharaan habitat semula jadi.